Kerjasama berpasukan satu cabaran – Khalid

Mar 30, 2008

MUKADIMAH
TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan satu nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam sektor korporat.

Beliau pernah mengakui merupakan produk Dasar Ekonomi Baru (DEB), juga pernah terlibat merangka pelbagai dasar membantu Melayu, termasuk Amanah Saham Nasional(ASN) ketika bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tetapi itu dulu sebelum beliau menceburi bidang politik. Kini namanya semakin dikenali apabila bersama parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau antara orang yang mengetuai tsunami politik pada Pilihan Paya Umum Ke-12 merampas Selangor yang kini beliau terajui sebagai Menteri Besar.

Abdul Khalid mengakui tidak pernah mengimpikan akan mengetuai sebuah kerajaan negeri selepas tewas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, April tahun lalu.

Pada peringkat awal dalam PKR, beliau menganggap dirinya berada dalam ‘kumpulan khuatir’ berbeza dengan kumpulan kebal seperti Naib Presiden PKR, Azmin Ali, sehingga kadang-kadang ‘lari’ daripada mereka.

Kepada wartawan Mingguan Malaysisa Khalid Saad dan Rozilan Salleh yang menemuinya di Stadium Shah Alam selepas beliau menyaksikan perlawanan bola sepak Piala FA antara Selangor dengan Perak baru-baru ini, Abdul Khalid menyatakan beliau belum dapat bercuti, yang pada mulanya dirancang selepas pilihan raya umum lalu. Baginya menyaksikan perlawanan bola sepak hampir dua jam itu, juga seolah-olah ‘bercuti’ seketika daripada beban tugas.

MINGGUAN: Tan Sri sebelum ini mengetuai organisasi korporat, apa bezanya bila kini mengetuai organisasi yang lebih besar, sebagai Menteri Besar kepada sebuah negeri paling maju di Malaysia?

KHALID: Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk menyemai bakti kepada masyarakat. Saya bernasib baik sebagai budak kampung yang mendapat peluang, merasai bagaimana menjadi pengurus pelaburan, kemudian pengurus syarikat ladang dan kini memasuki arena politik dan diberi tugas bersama rakan-rakan untuk menerajui sebuah negeri yang dianggap penting di Malaysia.

Saya tidak menyangka perkara ini boleh berlaku. Saya telah dijemput oleh saudara Anwar Ibrahim menyertai kumpulannya. Saya menerimanya oleh kerana saya percaya kewibawaan beliau dan keinginannya membawa reformasi kepada masyarakat dan politik. Saya juga mendapat kekalahan politik apabila pertama kali menyertai pilihan raya dan kalah di Ijok (pilihan raya kecil). Jadi bukanlah maknanya saya menang semua. Ijok memberi pengajaran kepada saya bahawa dalam politik ini, kita mesti berani dan sanggup mengambil risiko.

Saya rasa rakyat Malaysia agak matang dalam politik, boleh jadi kita tidak pandai membaca pemikiran mereka tetapi akhirnya mereka menunjukkan kematangan ber- politik. Kalau mereka hendak buat perubahan, mereka akan lakukan juga. Jadi bagaimana cara sekalipuntelevisyen cuba membuat agenda-agenda yang patut diikuti tetapi ini tidak akan mengubah pemikiran ramai dalam usaha mengubah kerajaan.

Pernahkan Tan Sri terfikir mencapai tahap sekarang?

KHALID: Saya rasa apabila masuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai orang baru, mereka seperti Azmin Ali yang berjuang sudah lapan, sembilan tahun, bila masuk kumpulan tersebut, mereka sudah kebal. Bagi mereka, kalah pun tidak menjadi masalah. Tetapi saya dalam kumpulan yang khuatir tetapi mereka ini pasal melawan sudah jadi identiti. Kadang-kadang saya lari daripada mereka sebab identiti mereka ialah mahu mengetengahkan bahawa negara perlu mencapai tahap keadilan dan mereka yang teraniaya mesti kita beri pertolongan.

Yang penting dalam hal ini ialah ‘esprit de corps’ (semangat kekitaan), mereka ini dalam satu kumpulan, walaupun tahu sesuatu perkara, itu sangat sukar, tetapi kekuatan ‘esprit de corps’ percaya suatu masa mereka akan berjaya. Adalah satu kejayaan bagi Keadilan, daripada satu kerusi (di Parlimen), kini menjadi 31 kerusi dan dapat membuat perubahan di empat negeri yang biasanya selalu berlaku di Kelantan dan Terengganu.

Trend pengundi memilih pembangkang?

KHALID: Saya tidak mengkaji secara terperinci tetapi yang memberi undi kepada kita, boleh diketahui. Jalur satu, dua dan tiga terdiri daripada pengundi lama manakala jalur empat, lima dan enam golongan muda, kalau tengok pola, di pantai barat di kawasan bandar, mereka beri sokongan kepada reformasi.

Benarkah bukan pembangkang kuat tetapi keputusan pilihan raya disebabkan kelemahan Barisan Nasional (BN) sendiri?

KHALID: Itu tidak apalah, masalah mereka, tetapi saya ingat pengundi pun memilih juga. Ada yang beri BN menang. Pengundi memilih, bukan tidak memilih tetapi boleh jadi trend itu membawa kepada Keadilan. Saya tidak kata BN kurang faham tetapi dia tidak terbaca pemikiran masyarakat yang membuat perubahan, ada orang kata BN agak ‘arrogant’ (angkuh) sebab kata orang Melayu tidak ada pilihan kecuali BN. Jadi bila sampai pada peringkat itu, pengundi sudah mula berfikir, oleh itu yang lain menjadi pilihan, sebab itu kita dapat undi-undi mereka atas pagar yang merasakan tidak akan pilih kumpulan yang terlalu ‘arrogant’.

Parti-parti pembangkang berjaya menawan Selangor, jadi sekarang ini sepatutnya masa untuk menunaikan janji-janji kepada rakyat?

KHALID: Ya, sudah tentu, antara manifesto yang saya lihat ialah bagaimana meringankan beban air. Kita akan mulakannya mulai 1 Jun ini.

Sebagai seorang profesional, saya tidak kata janji itu terus boleh dilaksanakan tetapi kerajaan kena buat kira-kira terlebih dahulu. Apakah kesannya kepada negeri, kesan kepada syarikat-syarikat yang uruskan air. Kita telah buat kajian dan hasilnya kita boleh lakukan mulai 1 Jun ini.

Tetapi ini melibatkan jumlah yang besar?

KHALID: Kita akan buat setahun-setahun. Pada saya kita boleh lakukan lebih baik lagi apabila kita mengkaji semula konsensi-konsensi yang diberi dan kalau boleh beri peluang kepada kita untuk kurangkan keuntungan dari mereka menjadi usahawan yang menerima itu. Negeri tidak ambil keuntungan tersebut tetapi akan mengalirkannya kepada rakyat Selangor.

Selain air?

KHALID: Pada saya yang paling penting ialah bagaimana ingin membawa belia Selangor ke satu tahap semuanya bekerja, maknanya tidak ada seorang pun belia di Selangor yang saya angggp tidak ada pekerjaan yang sesuai.

Pada saya kita mesti latih belia agar berkemahiran tinggi supaya mereka tidak menjadi buruh kasar tetapi buruh yang mempunyai kemahiran. Saya cadang kalau cita-cita berjaya, sasaran saya setiap belia berusia 23 hingga 35 tahun sekurang-kurangnya mendapat gaji RM2,000 sebulan, kalau nak dapat gaji sebanyak itu dia mesti ada kemahiran dan kebolehan.

Pada saya Selangor akan menyediakan latihan-latihan kemahiran supaya mereka dapat kejayaan yang mereka mahu.

Jika menjadi kenyataan, jurang berada dengan tidak berada dapat dikurangkan dengan belia yang menjadi peratus penduduk tertinggi sudah dapat meningkatkan pendapatan. Walaupun ramai yang kata saya guna dana dari pekerja asing, tetapi tujuan saya kalau Malaysia mahu maju ke depan tetapi bergantung kepada buruh luar, makin lama kita dalam keadaan tidak tenteram, saya mahu selesaikan masalah itu.

Kedua, pengambilan buruh asing ke Malaysia melibatkan banyak kos. Saya dapati sekurang-kurangnya RM3,500, saya mahu Selangor mencari jalan bagaimana mengurangkannya dengan cara membayar RM9 sebulan dapat mengurangkan RM3,500 ke RM2,500, maknanya upah yang itu sudah terbayar.

Tetapi saya perlukan data setiap buruh asing, kalau tidak, rancangan itu tidak dapat dijalankan. Tujuannya kita hendak simpan data-data tersebut. Kita boleh gunakan itu untuk membolehkan pekerja asing mendapatkan perkhidmatan di hospital, sekolah, masjid.

Jadi kita mesti ada data, kalau tidak jadi kelam-kabut, jumlah mereka bukan sedikit, 1.5 juta. Banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) agak marah, mereka kata memerah buruh asing. Saya bukan memerah, saya hendak menolong tetapi teknik saya menolong ialah lebih kepada pendekatan komersial, kalau tolong perlu ada timbal balas, kena buat strategi sebegini, bukan tolong sahaja, susah kemudian.

Dari segi pembentukan kerajaan negeri dan pelantikan Exco, adakah Tan Sri menghadapi masalah?

KHALID: Masalah… memang biasa, melantik Kabinet pun saya ingat Perdana Menteri tidak kurang tidurnya, pada saya memanglah kita boleh ambil ramai Exco tetapi ada hadnya, umpamanya empat PKR sebab berasaskan kemenangan 15 kerusi, DAP hendak empat juga sebab dia ada 13 kerusi, Pas pun hendak tambah.

Walau bagaimanapun oleh kerana kita memikirkan supaya melambangkan demografi peratus masyarakat di Selangor yang 52-53 peratus adalah terdiri daripada Melayu dan bumiputera, kita cuba melebihkannya, bukan terlalu banyak jumlah Exco Melayu tetapi kita juga mesti ada wakil India, DAP hanya boleh menyediakan wakil dari kaum Tionghua, Pas pula boleh bagi hanya Melayu, PKR mesti ada Melayu, Cina dan India.

Tetapi akhirnya saya berpuas hati kerana ini pertama kali dalam sejarah di Selangor yang ada empat Exco wanita. Ia boleh jadi sejarah dalam Malaysia, empat wanita mempunyai kepakaran tersendiri, bukan pilih mereka kerana dia wanita tetapi kerana mereka ada kebolehan seperti doktor, jurutera. Mereka orang profesional, tetapi yang lelaki pun tidak kurang kebolehan mereka.

Tetapi DAP seolah-olah masih tidak berpuas hati?

KHALID: Pasal puas hati, tidak puas hati, bukan PKR sahaja, UMNO pun tidak puas hati, Pas tidak puas hati, semua orang tidak puas hati tetapi itu memang perkara biasa. Mereka rasa mereka patut dapat lebih.

Tetapi tidakkah ini boleh mengancam pakatan PKR, DAP dan Pas?

KHALID: Tidak, yang bahayanya ialah kalau kita tidak dapat menguruskan negeri ini dengan baik, mereka sentiasa akan menuntut, memang biasa. Pada saya itu bergantung kepada kepimpinan kita dan bagaimana kita membentuk kerjasama berpasukan, ini satu cabaran paling penting bagi saya daripada pandangan dan aliran berbeza untuk membangunkan Selangor.

DAP masih mengharapkan jawatan Timbalan Menteri Besar?

KHALID: Kini isu itu tidak timbul lagi, tetapi saya ada buat kenyataan, bila perlu, saya rasa itu berlapik.

Apa maksud Exco Kanan yang diberikan kepada Teresa Kok?

KHALID: DAP ada 13 kerusi DUN, tetapi dapat tiga jawatan Exco, Pas dengan lapan kerusi pun dapat tiga Exco, jadi kita naikkan status dia kepada kanan. Jawatan kanan itu bukan bermakna beliau akan menggantikan Menteri Besar dalam hal tertentu, tidak ada dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, sebab itu watikah pelantikan Menteri Besar berasingan daripada Exco, undang-undang negeri, Menteri Besar mesti mempengerusikan Exco.

Bagaimana Tan Sri melihat 82 kerusi pembangkang di Parlimen, satu jumlah yang besar?

KHALID: Lebih mantap, nantilah kita akan tengok bagaimana. Yang bagusnya sebab rakyat matang, dulu kadang-kadang rang undang-undang yang tidak boleh diterima pun disogokkan kepada kita, kini tugas kita akan menjadi ‘check and balance’, ini menjadikan negara matang.

Sebelum ini, apabila rang undang-undang dibentangkan, dia asyik bersorak sahaja, lepas orang bercakap dia sorak, lepas tu undang-undang lulus sedangkan sesetengah daripada ahli Parlimen BN tidak tahu pun apa yang dia baca, jadi saya rasa sekarang BN dan pembangkang kena sama-sama teliti.

Salah satu yang akan kita bawa ialah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), selain undang-undang hak mendapatkan maklumat. Ini mampu membuka minda masyarakat, jadi ‘check and balance’ kepada eksekutif dan pentadbir yang mereka mesti membuat kerja dengan betul.

Selepas 15 April, Anwar boleh aktif semula berpolitik dan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya, adakah ini membawa perubahan corak kepadaPKR?

KHALID: Kalau boleh, saya minta dipercepatkan lagi pun tidak apa. Kita sudah kata kepada Perdana Menteri, kenapa tidak ditunda pilihan raya, kenapa buat Mac, tidak selepas April untuk memberi peluang kepada Anwar Ibrahim. Tetapi Perdana Menteri kata dia tidak terfikir soal Anwar, okey, kita terima, kalau Anwar tidak penting buatlah selepas 15 April. Selepas itu sama ada akan berubah atau tidak, terpulanglah, pada saya momentum rakyat untuk perubahan itu sudah nampak. Anwar boleh buat keputusan sama ada beliau mahu bertanding selepas 15 April, terpulang kepada dia. Tetapi kita juga ada perkara-perkara yang mesti difikirkan.

Di mana beliau akan bertanding?

KHALID: Strategi kita sekarang ini, jangan meletakkan tempat sebab saya percaya dalam pilihan raya kecil, bila kita tetapkan tempat, orang sudah mula kempen dari sekarang, strategi itu tidak boleh, kalau itu berlaku, jentera kerajaan sudah mula turun untuk menyelesaikan masalah-masalah setempat.

Adakah Tan Sri sendiri bersedia mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi ruang kepada Anwar?

KHALID: Boleh jadi, kita ada lagi 30 yang sedia kosongkan kerusi, dia boleh kempen di 30 tempat itu termasuk Bandar Tun Razak, tetapi kalau kita bagi (umum) satu atau dua tempat, ini tidak betul. Saya percaya Anwar ada kemahiran politik, percaturan dia, dia akan tentukan bila masa yang sesuai.

Bagaimana dengan kehidupan Tan Sri sekarang, sudah dua minggu menjadi Menteri Besar?

KHALID: Selepas saya bersara dari Guthrie saya ingat sudah boleh berrehat, sekarang saya balik seperti masa di Guthrie, itu sahaja. Dari segi kerja, memang saya selalu bekerja dalam keadaan ini. Saya ingat saya mahu bercuti selepas pilihan raya tetapi sekarang belum boleh lagi, harapan untuk bercuti itu tidak lagi dapat ditunaikan. Tetapi saya juga diingatkan oleh rakan-rakan, mesti bercuti. Sebab itu saya tengok bola sampai lebih satu jam, tidak payah fikir hal lain

Source: Utusan.com.my

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s


%d bloggers like this: